Sejak akhir-akhir ini nama Shuib dan kumpulan pelawak terkenal, Sepahtu menjadi bualan ramai. Sejak dari Shuib tidak kelihatan dalam rancangan siaran langsung sitkom Sepahtu Reunion Live itu, peminat mula bertanya-tanya apakah yang berlaku antara figura itu bersama kumpulan pelawak berkenaan.
Namun jawapan yang diberikan Shuib tidak begitu jelas membuatkan isu tersebut terus berpanjangan. Terbaharu Jep Sepahtu dedah sebab sebenar Shuib tak bersama kumpulan pelawak berkenaan.
Menerusi muat naik di Instagram milik Jep atau nama sebenarnya Muhd Nadzri Zainal Abidin mendedahkan dan menjelaskan mengenai perkara tersebut.
Jep jelaskan sebabnya
Dalam penjelasan itu Jep memberitahu antara sebab utama mengapa peminat Sepahtu Reunion Live (SRL) tidak nampak Shuib dalam rancangan tersebut.
“Saya rasa dah tiba masanya untuk saya hentikan sinetron yang dimainkan ini. Saya bukan orang yang kemaruk dengan publisiti untuk kena sentiasa ada tulisan pasal diri saya. Jadi tolong jangan libatkan saya dalam marketing murahan ini. Jadi harini saya akan bagi tahu kenapa dia takde dalam SRL bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan andaian yang boleh menjadi fitnah.”
Punca utama adalah…
Menurut Jep, punca utamanya adalah ada satu babak dalam rancangan tersebut yang dilakonkan oleh Shuib telah menerima kecaman dari netizen. Disebabkan itu pihak Astro meminta Shuib untuk memohon maaf secara terbuka atas aksi lucah yang dilakonkannya.
“Ceritanya bermula ada babak yang dia mainkan dalam SRL mendapat kecaman teruk dari penonton. Aksi lucah itu berlaku ketika babak dia sedang mesin kelapa. Jadi pihak Astro mengeluarkan arahan untuk dia minta maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan penggantungan selama dua minggu.”
Asal Shuib kena gantung
Selain itu juga, Shuib dikenakan penggantungan selama dua minggu. Susulan itu Shuib memohon maaf dan memberi kata dua mengenainya.
“Tindakan itu sebagai peringatan juga kepada kami pemain yang lain. Ini kerana SRL adalah tontonan keluarga dari pelbagai lapisan umur. Setelah meminta maaf, dia masih tidak puas hati dengan tindakan yang dikenakan, lalu memberi kata dua sekiranya dia masih digantung 2 minggu dia memilih untuk tidak meneruskan lagi baki 50 episod yang tinggal.”
Ada pelawa kembali tapi…
Tambah Jep lagi, mereka ada pelawa dan jemput Shuib semula namun tiada jawapan menyebabkan mereka teruskan rancangan tersebut.
“Musim berganti musim, musim baru SRL pun tiba. Tidaklah kami melutut memujuk tp kami tanya, pelawa dan jemput semula. Kami tunggu keputusannya. Senyap tak ada berita. Mahu tak mahu kami teruskan juga tanpa dia.”
Peminat bertanya
Itulah yang Jep Sepahtu dedah sebab sebenar tiada Shuib dalam rancangan tersebut. Namun keadaan menjadi lebih keruh apabila peminat terus bertanya dan tiada kenyataan sebenar apa yang berlaku. Apa yang ada hanyalah kenyataan tergantung dan mendatangkan tanda tanya.
“Saya perhati saja. Fikiran saya tak perlu saya ikut campur, itu keputusan dia. Terpulang pada dia.
Sepahtu tidak pernah buang Dia. Malah disatu waktu kami yang tertunggu dia kembali. Disaat dia nyatakan dia rehat dari dunia hiburan dan tak mahu buat rancangan apa pun satu per satu rancangannya keluar. Buat kami temangu mangu.”
“Kini hati pun telah tawar”
Menutupi luahan dan pendedahan ini, Jep sempat mendoakan sahabatnya itu semoga terus berjaya. Malah Jep juga mohon peminat untuk tidak bertanya dan minta mereka bersama lagi.
“Tak apalah. Kini hati pun telah Tawar. Waktu berlalu pergi. Kisah kami yang indah indah saya simpan sendiri. Janganlah ditanya, diasak suruh bersama lagi. Tidak ada sedikit rasa marah dan dendam cuma kenyataan untuk pembetulan. Walau tidak bersama sepahtu , doa saya tetap bersama dia. Dimana pun dengan siapapun. Semoga berjaya “