Sebelum ini, pengacara Hawa Rizwana menjelaskan mengenai hubungannya bersama pelawak Zizan Razak. Menurutnya, dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan pelawak itu sebaliknya cuma menganggap Zizan sebagai seorang abang sahaja.
Susulan itu, ramai pula yang menyangka Zizan telah di ‘abang-zone’ kan oleh pengacara program MeleTOP ini. Tampil memberikan penjelasan, Zizan memberitahu mereka sejujurnya memang tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa seperti yang disangkakan ramai.
“Bagi saya tak ada apa pun. Saya sendiri tak pernah anggap dia lebih daripada seorang adik. Kami hanya berkawan. Tetapi jangan pula ada yang kata saya ‘adik-zone’ dia. Kami memang tak pernah ada apa-apa hubungan yang lebih daripada sekadar kawan. Saya pun tak pernah cuba mengurat dia.”
Akui kehidupan rasa sunyi
Dalam masa yang sama, Zizan tidak menafikan kehidupannya kini terasa sunyi apatah lagi rakan-rakan di sekelilingnya sudah mempunyai keluarga mereka yang tersendiri. Walau bagaimanapun, pelawak itu tetap bersangka baik dengan takdir yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan yakin akan dipertemukan dengan jodohnya apabila tiba masa yang sesuai.
“Jujur cakap, adakala memang sunyi. Bila tengok rakan-rakan lain bahagia dengan pasangan mereka, terbit pertanyaan bila aku nak rasa semua itu. Tetapi saya percaya dengan jodoh. Tuhan akan beri pada waktu yang terbaik.”
Terdahulu, Hawa menjawab spekulasi ramai apabila ada yang menganggap dia dan Zizan mempunyai hubungan istimewa. Malah perkongsian gambar-gambar mereka yang dimuat naik oleh Zizan di media sosial juga turut menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan netizen.
Jelas Hawa, dia menganggap Zizan sebagai seorang abang dan senior di dalam industri hiburan yang sudah lama dikenalinya sejak pembabitan awalnya dalam bidang penyiaran. Hubungan pasangan ini mula diperkatakan apabila pelawak itu memuat naik gambar mereka di Instagram dengan kapsyen seperti mahu mengumumkan sesuatu.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.