Tak dinafikan, ramai yang suka dengan gandingan di antara Hawa Rizwana dan Zizan Razak malah ada yang turut berharap hubungan itu akan berakhir di jinjang pelamin. Tidak kurang juga yang tertanya-tanya tentang status hubungan mereka yang dilihat cukup mesra dengan satu sama lain.
Namun menurut Hawa, dia menganggap semua itu hanyalah satu gosip semata-mata yang menjadi lumrah dalam dunia hiburan. Pengacara itu memberitahu dia mula mengenali Zizan sejak tahun 2016 semasa dia baru sahaja menyertai dunia penyiaran.
“Boleh dikatakan kami sudah lama berkawan iaitu sejak saya jadi wartawan penyiaran lagi kerana pernah menemu bual dia sebelum ini. Kami tiada apa-apa pun, tak lebih daripada rakan. Saya anggap Zizan macam abang dan senior dalam industri seni.”
Jelas Hawa, mungkin kerana pembabitan mereka di dalam telefilem berjudul Raya Sebagai Isteri arahan Michael Ang sempena Aidilfitri ini menyebabkan ramai yang sering melihat mereka bersama. Tambahan pula, Zizan sering memuat naik gambar mereka bersama semasa berada di set penggambaran telefilem tersebut.
“Zizan jenis kuat mengusik dan suka kongsi gambar ketika penggambaran dalam media sosial. Mungkin dari situ orang salah sangka.”
Terdahulu, nama Hawa Rizwana mula digosipkan bersama dengan Zizan Razak apabila pelawak itu memuat naik gambar mereka berdua di Instagram. Malah kapsyennya yang memberitahu bakal mengumumkan sesuatu telah membuatkan ramai teruja dengan status hubungan pasangan ini.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.