Usahawan Mawar Karim baru-baru ini membuat pendedahan mengejutkan apabila memberitahu kehidupannya kini jauh lebih bahagia dari sebelum ini. Kenyataan ini juga seolah-olah memberi bayangan dia banyak menanggung kehidupan keluarga semasa bergelar isteri pada satu ketika dahulu.
Difahamkan, kenyataan itu dikeluarkan selepas dia menerima kecaman dari seorang individu yang menegurnya di Instagram. Menurut individu tersebut, Mawar kini kelihatan tidak cantik seperti dahulu semasa dia bergelar isteri kepada pelakon Fizo Omar.
Bukan itu sahaja, individu tersebut juga turut memerli Mawar apabila mengatakan kehidupan Fizo kini jauh lebih bahagia dengan keluarga barunya. Tambahan pula, baru-baru ini pelakon itu mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua bersama isterinya, Fazeera Nazri.
Tampil menafikan dakwaan tersebut, Mawar meluahkan rasa syukur apabila kehidupannya kini jauh lebih tenang berbanding dahulu. Namun dia tidak mahu mendedahkan apa yang ditanggungnya selama ini dan memberitahu cukuplah hanya dia sahaja yang tahu.
“Alhamdulillah hidup sekarang lebih bersyukur dan tenang sebab duit tak habis lesap. Kalau berbanding dulu faham-faham sendirilah. Takkan nak cerita satu dunia apa yang saya kena tanggung selama itu.”
Dalam masa yang sama, Mawar turut menegur individu yang memerlinya itu kerana menggunakan akaun palsu semata-mata untuk mengecamnya. Usahawan itu turut menasihati individu tersebut untuk berhenti memberikan kecaman kepada orang lain dan berselindung di sebalik akaun palsu itu.
Sekadar info, Mawar Karim dan Fizo Omar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam. Pada Julai 2019, pasangan ini memilih untuk bercerai manakala Fizo berkahwin dengan seorang bekas pramugari pada Oktober 2021.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.