Bagi pengguna setia platform Tik Tok, pastinya anda perasan beberapa video yang tular semasa persembahan dari penyanyi Najwa Latif semalam. Penyanyi itu telah melakukan persembahan di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang turut ditemani oleh suaminya.
Semasa sedang melakukan persembahan, hujan tiba-tiba turun namun Najwa Latif tetap meneruskan persembahannya walaupun tidak mempunyai tempat berteduh. Tidak semena-mena, suaminya iaitu Akwa Arifin muncul dari belakang pentas sambil membawa payung.
Akwa kemudian memayungi isterinya itu yang sedang membuat persembahan sekaligus menerima sorakan dari penonton yang hadir. Suasana yang tiba-tiba bertukar menjadi romantis ini juga turut membuatkan para peminat tidak keruan melihatnya.
Perkongsian video itu turut menerima lebih sejuta tontonan setakat ini di mana rata-rata netizen turut sama ‘cair’ melihat pasangan romantis ini. Malah ada juga yang berseloroh berasa ‘sendu’ tidak semena-mena dengan gelagat suami isteri ini.
Meninjau di ruangan komen, netizen seakan-akan masih lagi tidak percaya Najwa Latif yang pernah menjadi ‘Presiden Single’ satu ketika dahulu telah pun mendirikan rumah tangga. Dalam masa yang sama, netizen turut mendoakan perkahwinan mereka berkekalan hingga akhir hayat.
“Dia main peluk-peluk pulak, dia tak tau ke kita tengah merana sebab single ni.”
“Masa dia kecik aku single, masa dia dah kahwin pun aku masih single…”
“Diorang dua ni comel betul la.”
Sekadar info, Najwa Latif mendirikan rumah tangga bersama penyanyi rap Akwa Arifin pada 11 November lalu selepas tiga tahun berkenalan. Terdahulu mereka pernah mengeluarkan ‘single’ bersama yang berjudul Tak Kisah Pun dan Dua.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.