Pelakon senior yang terkenal dengan lakonan hebatnya dalam drama kepolisian ini menjadi bualan ramai selepas memuat naik gambarnya berpindah rumah baru-baru ini. Menerusi perkongsian di Instagram, Zulkifli Ismail menceritakan kenangan manisnya sepanjang menetap di rumah sewa tersebut.
Menurutnya, dia dan keluarga sudah menetap di rumah sewa terbabit selama 32 tahun semenjak dia bujang sehinggalah kini. Tambahnya lagi, terlalu banyak kenangan yang ada di rumah sewanya ini yang telah didudukinya ketika dia berusia 27 tahun.
“Sejak masih bujang sehingga dah bermenantu. Terlalu banyak kenangan di sini. Hari ini saya akan berangkat meninggalkannya. Salam pamitan buat rumah yang banyak berjasa ini.”
Perkongsian itu turut menarik perhatian ramai di mana rata-ratanya meluahkan rasa terkejut pelakon veteran itu masih menyewa rumah sehingga sekarang ini. Malah ada juga yang bertanyakan mengapa dia tidak membeli rumahnya sendiri dan memilih untuk menyewa.
Kenapa masih menyewa?
Menerusi temu bual bersama Harian Metro, Zulkifli menjelaskan tentang soalan yang kerap diajukan oleh netizen ini. Menurutnya, bukan mudah untuk golongan pelakon membuat pinjaman rumah dengan bank berbanding mereka yang mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.
“Sesiapa saja yang kerja secara bebas atau ‘freelance’ akan melalui perkara ini. Kami anak seni memang tidak ada pendapatan tetap. Kadang-kadang ada ‘job’ (tawaran kerja), kadang-kadang tak ada.”
Jelasnya lagi, isterinya merupakan seorang guru sekolah membuatkan mereka sekeluarga setia menetap di rumah tersebut kerana lokasi kerja isterinya yang dekat ditambah pula mempunyai kejiranan yang baik. Difahamkan, dia mempunyai rumah sendiri di Kajang yang dibeli 13 tahun lalu dan disewakan kepada orang lain.
Oleh kerana kini isterinya dipindahkan ke Kajang, mereka akhirnya akan berpindah ke rumah mereka sendiri selepas 32 tahun menyewa. Pelakon itu juga turut mengakui tuan rumahnya turut sama berasa sedih apabila dia dan keluarga mengambil keputusan untuk berpindah keluar namun masih meninggalkan rumah dalam keadaan yang baik.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.