Penyanyi dan pelakon berbakat besar, Naim Daniel baru-baru ini berkongsikan dia telah menerima pengiktirafan dari Malaysia Book of Records (MBR). Ini semua susulan persembahan hebatnya semasa di Anugerah Juara Lagu ke-37 pada Februari lalu menerusi lagu Mainan.
Persembahan nyanyian yang dilakukan secara tergantung dan terbalik di pentas AJL37 ini telah melayakkan dirinya menerima pengiktirafan tersebut. Difahamkan, Naim Daniel menjadi penyanyi pertama yang menyanyi secara terbalik di dalam persembahan siaran langsung.
“Saya tak pernah terfikir nak dapat pengiktirafan daripada MBR. Cuma, selama ini saya mahu lakukan persembahan yang akan diingati. Alhamdulillah ia termakbul, bukan sahaja diingati malah diiktiraf.”
Walaupun tidak berjaya merangkul anugerah Persembahan Terbaik di pentas AJL37, Naim menganggap kejayaan di dalam Malaysia Book of Records ini juga adalah satu rezeki yang besar untuknya. Malah Naim berharap pencapaian ini dapat memberikan sumber inspirasi kepada mereka yang lain untuk berani mencuba sesuatu.
“Dalam menjadi anak seni, kita perlu berani mencuba. Saya pinjam semangat Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad yang selalu hadir dengan idea maju daripada zamannya.”
Bercakap mengenai persembahannya di pentas AJL37, Naim memberitahu dia menjalani sesi latihan selama 3-4 hari untuk menjayakan persembahan secara tergantung itu. Dia juga turut mendapatkan khidmat nasihat doktor selain melakukan aksi berkenaan di dalam pemantauan profesional termasuk pasukan perubatan.
Tidak cukup dengan itu, Naim juga tidak mengambil sebarang makanan atau minuman beberapa jam sebelum persembahan sebagai langkah berjaga-jaga. Pelakon drama bersiri Projek High Council ini turut memuat naik berita kejayaannya ini di Instagram dan menerima ucapan tahniah dari rakan artis dan peminat.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.