Suami kepada pelakon Fatin Afeefa iaitu Aliff Awang atau mesra dipanggil Opai sering menjadi perhatian netizen di Malaysia. Baru-baru ini pula, Opai berkongsikan videonya bercuti di Brunei di mana dia sempat mencuba beberapa hidangan tempatan.
Di dalam video yang dimuat naik itu, Opai meluahkan rasa terkejut apabila nasi lemak bersama lauk ayam di sana dijual pada harga $1.20 sahaja. Oleh kerana terkejut dengan harga murah itu, Opai telah membeli tujuh bungkus nasi lemak untuk dibawa pulang ke hotel.
Dalam masa yang sama, suami Fatin Afeefa ini turut berseloroh mengatakan orang Malaysia perlu mengahwini rakyat Brunei kerana boleh berjimat. Walau bagaimanapun, perkongsian video itu telah menerima pelbagai reaksi di media sosial.
Komen netizen
Kebanyakan netizen mempersoalkan tindakan Opai membandingkan harga nasi lemak di Brunei dengan yang dijual di Malaysia. Tambah netizen, lelaki itu sepatutnya mengambil kira faktor mata wang yang berbeza digunakan di antara dua-dua negara ini memandangkan Brunei tidak menggunakan mata wang Ringgit.
Jelas netizen, harga tersebut sememangnya murah untuk rakyat Brunei namun jika ditukarkan kepada mata wang Ringgit, sudah pastinya ia berbeza. Tinjauan di perkongsian itu mendapati pelbagai komen yang diberikan netizen dan ada juga yang memerli lelaki itu semula.
Sekadar info, pelakon Fatin Afeefa mendirikan rumah tangga bersama Aliff Awang pada Disember tahun lalu. Ini merupakan perkahwinan kedua pelakon wanita itu di mana sebelum ini dia pernah berkahwin dengan Adam Shahz dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.