Pada Disember lalu telah berlangsungnya Konsert OAG 30 Tahun Generasiku yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam. Namun baru-baru ini, Radhi yang merupakan vokalis kumpulan itu mendedahkan dia terpaksa meminjam wang sebanyak RM50,000 demi melangsungkan konsert tersebut.
Jelas Radhi, keputusan itu diambil selepas dia mendapati pentas masih belum siap pada jam 3 petang semasa hari konsert berlangsung. Difahamkan, pentas tersebut tidak dapat disiapkan kerana berhadapan dengan masalah bajet menyebabkan Radhi terpaksa meminjam dari Ah Long walaupun tahu ia bukanlah idea yang baik.
“Kami terpaksa pinjam ah long kerana mahu teruskan konsert. Pada hari itu juga, ah long datang dari Pulau Pinang dan bawa wang sebanyak RM50,000. Wang itulah digunakan untuk membina set di pentas dan persiapan lain konsert. Kalau tidak, memang tidak akan berlaku apa-apa pada malam itu.”
Tiket tak habis terjual
Menurut vokalis kumpulan itu, tiket bagi konsert tersebut tidak habis terjual disebabkan beberapa masalah selain disebabkan masa yang terhad. Oleh itu, kebanyakan tiket yang ada hanya diberikan secara percuma sahaja apabila ianya tidak habis dijual.
Tambahnya, promosi untuk konsert tersebut dilakukan selama dua bulan sahaja ditambah pula dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlaku ketika itu. Radhi berpendapat tiket konsert sepatutnya boleh habis terjual namun masa yang ada sangat terhad.
“Sejujurnya, kami tidak mahu teruskan konsert itu kerana kesuntukan masa. Ini ditambah pula dengan beberapa masalah lain seperti kos penganjuran. Namun disebabkan peminat, kami teruskannya. Ramai ingat tiket itu habis terjual, sebaliknya, banyak yang diberi percuma.”
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.