Terdahulu, Kedutaan Turkiye mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang telah menghantarkan Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia Khas (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat susulan gempa bumi yang melanda negara itu.
Di sebalik kesedihan dan kerisauan ramai ini, wartawan dan penyampai radio Izwan Azir Saleh telah menerima kecaman netizen apabila dia mempersoalkan ejaan nama Turki kepada Turkiye. Hantaran yang dimuat naik di Twitter itu kemudiannya mencetuskan kemarahan netizen di media sosial.
Di dalam perkongsian itu, Izwan menganggap tidak perlu untuk menukar cara ejaan nama negara tersebut. Baginya, ejaan Turkiye adalah di dalam bahasa tempatan mereka dan rakyat Malaysia boleh sahaja menggunakan ejaan Turki seperti yang biasa dilakukan sebelum ini.
“Kenapa Turki nak dieja Turkiye? Turkiye tu kan dalam bahasa tempatan dia. Kita di Malaysia ni eja sajalah Turki.”
Dalam masa yang sama, dia turut membandingkan bagaimana orang ramai tidak mengeja Jepun sebagai Nippon, Thailand sebagai Pratet Thai dan Arab Saudi sebagai Al-Mamlakah Al-Arabiyyah As-Suudiyah. Perkongsian itu kemudiannya menerima reaksi negatif netizen yang tidak bersetuju dengan pendapatnya itu.
Komen netizen
Menurut netizen, perubahan tersebut merupakan kehendak rakyat dan pemimpin negara itu sendiri yang mahukan Turki dipanggil sebagai Turkiye. Tambah netizen lagi, sekiranya itu yang dimahukan oleh rakyat dan pemimpin mereka maka orang ramai perlu lah mengikutinya tanpa perlu mempersoalkan mengapa.
Netizen turut menegur Izwan dan menganggap ada isu yang lebih besar yang perlu diberi perhatian susulan bencana gempa bumi yang berlaku pada negara itu daripada ingin mempertikaikan tentang ejaan tersebut.
Terdahulu, Izwan Azir Saleh pernah menjadi bualan ramai selepas dia memuat naik gambarnya memeluk bingkai gambar Queen Elizabeth selepas kemangkatannya pada 8 September 2022 di Istana Balmoral, Scotland.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.