Usaha untuk mencapai titik persefahaman di antara Syamsul Yusof dan Puteri Sarah nampaknya tidak berjaya selepas pasangan itu hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pasangan ini dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Syamsul enggan melafazkan cerai.
Puteri Sarah ketika ditemui media memberitahu dia berkeras dengan keputusannya untuk bercerai dan tidak mahu berdamai dengan suaminya. Jelasnya, tiada apa-apa yang boleh dibincangkan lagi memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai.
“Saya masih kekal dengan keputusan untuk bercerai dan enggan berdamai. Cukup-cukuplah, saya sudah penat.”
Difahamkan, proses Jawatankuasa Pendamai berlangsung di antara wakilnya dan pihak Syamsul di mana pelakon wanita itu membawa adiknya manakala Syamsul membawa sepupunya. Jelas Puteri Sarah, dia enggan bersemuka dengan Syamsul dan meminta untuk proses JKP dilakukan secara berasingan.
Pada 7 Mac lalu, pasangan tersebut diperintahkan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai dalam kes permohonan perceraian mereka. Puteri Sarah memberitahu sekiranya Syamsul masih lagi enggan melafazkan cerai, dia akan menggunakan hakam.
“Saya sudah penat melayan benda ini bertahun-tahun. Proses selepas ini ikutkan ada sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, April ini. Apa yang saya cakap hari ini akan dibawa ke mahkamah. Kalau dia tak nak juga (lafaz cerai), saya akan gunakan hakam.”
Syamsul luah rasa kecewa
Sementara itu, Syamsul semasa ditemui media meluahkan rasa kecewa apabila sesi pendamaian tersebut diadakan secara berasingan susulan permintaan isterinya itu. Dia turut berharap dapat bersua muka dengan Puteri Sarah untuk berbincang mengenai masalah rumah tangga mereka.
Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya selepas pengarah filem itu membuat pengakuan sudah berkahwin dengan isteri kedua. Selain itu, dia memaklumkan keputusan ini diambil susulan tiada persefahaman dan berlaku perbalahan berpanjangan di antara dia dan suami.
Walau bagaimanapun, Syamsul enggan melafazkan cerai semasa sebutan pertama kes tersebut sebelum ini. Menurut pengarah filem itu, dia masih menyimpan perasaan sayang terhadap Puteri Sarah dan yakin perkahwinan mereka masih boleh diselamatkan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.