Vokalis kumpulan OAG iaitu Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali memaklumkan dia kini sedang mengenali hati budi seorang wanita berusia 21 tahun. Penyanyi berusia 45 tahun itu memberitahu kekasihnya itu merupakan seorang pelajar di sebuah universiti awam.
Difahamkan, wanita itu masih lagi bergelar pelajar dan sedang melanjutkan pengajiannya buat masa ini. Menurut Radhi sendiri, dia sebolehnya tidak mahu berkongsikan mengenai kisah peribadinya ini selain berharap hubungan ini akan menjadi yang terakhir untuknya.
“Kalau boleh saya tak nak kongsi sangat tapi biarlah yang ketiga ini jadi yang terakhir. Kalau dah tiba masanya nanti barulah saya akan kongsikan kepada semua.”
Dalam masa yang sama, Radhi memberitahu kekasihnya itu adalah seorang wanita yang ‘sempoi’ dan tidak menggunakan media sosial di mana ia membuatkan dia tertarik dengannya. Difahamkan, dia sudah mengenali wanita tersebut kira-kira dua tahun yang lalu dan baru kini menjalinkan hubungan serius.
Buat masa ini, dia meminta teman wanitanya itu untuk fokus kepada pengajian terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa rumah tangga. Walau bagaimanapun, dia enggan mendedahkan terlalu banyak mengenai teman wanitanya ini tetapi memaklumkan dia tahu semua mengenai dirinya.
“Apa yang boleh saya katakan dia kenal diri saya ‘A to Z’. Cara pergaulan dan percakapannya, dia tahu apa yang boleh dan tidak boleh.”
Ketika ditanya tentang kes pertuduhan memukul dan mencederakan bekas isterinya, Radhi memberitahu dia akan ke mahkamah semula untuk perbicaraan itu pada 14 Februari tahun depan. Jelasnya, dia cuba untuk berdamai dengan bekas isterinya sebelum ini namun wanita itu berkeras ingin membawa kes ini ke mahkamah.
Namun dia redha dengan keputusan tersebut dan menganggapnya sebagai satu ujian untuk dirinya. Dalam masa yang sama, dia memaklumkan telah pun memaafkan bekas isterinya itu dan turut berharap wanita itu dapat memaafkannya juga.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.