Isu yang sedang hangat diperkatakan kini melibatkan Aaron Aziz dan Syamsul Yusof nampaknya masih mendapat perhatian umum. Kemelut antara mereka timbul apabila Aaron Aziz mendakwa namanya digugurkan dari membintangi The Original Gangster.
Terbaharu, Datuk Rosyam Nor yang turut membintangi filem yang sedang dalam pembikinan ini memberitahu tidak mahu masuk campur dengan masalah yang berlaku dalam produksi The Original Gangster terutama berkenaan isu sedang hangat tersebut.
Enggan keruhkan keadaan lagi
Memetik laporan Harian Metro, Rosyam Nor enggan keruhkan keadaan tersebut dan berkata dia tidak mahu mencampuri pertikaian yang timbul itu.
Malah katanya sebagai pelakon yang dibayar untuk berlakon dia hanya berfikir datang ke lokasi dan menjalankan tanggungjawabnya itu sahaja.
“Saya tak mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan mencampuri pertikaian membabitkan Syamsul dengan Aaron. Saya juga tidak berminat untuk ambil peduli mengenai isu. Ada baiknya saya teruskan penggambaran seperti diminta pihak produksi,” kata pelakon dan penerbit berusia 56 ini.
Tak mahu campuri hal orang lain
Tambah Rosyam Nor lagi bila sedang bekerja dirinya tidak ambil tahu hal orang lain. Malah dia juga tidak mahu mencampuri masalah produksi dan apa yang berlaku tiada kena mengena dengan dirinya.
“Saya tidak mahu campur-adukkan kerja saya dengan masalah-masalah produksi. Konflik yang berlaku itu adalah masalah produksi dan bukannya masalah saya,” kata Rosyam Nor enggan keruhkan keadaan mengenai isu tersebut.