Pada 9 Ogos 2021, seluruh Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi Siti Sarah akibat dari virus Covid-19. Pemergian mengejutkan penyanyi ini turut membuatkan seluruh negara berduka apatah lagi arwah sempat melahirkan anak bongsunya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
Baru-baru ini, Shuib memuat naik video perkahwinannya bersama Siti Sarah bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-12. Pelawak itu berkongsikan video ‘throwback’ momen semasa majlis pernikahan mereka yang diadakan pada 12 tahun yang lalu.
Perkongsian video tersebut turut membuatkan ramai berasa sebak melihatnya dan kembali teringat semula kepada penyanyi hebat ini. Namun dalam masa yang sama, netizen turut menegur Shuib kerana telah memuat naik video menampakkan aurat Siti Sarah yang tidak bertudung pada waktu itu.
Malah rata-rata netizen meminta pelawak itu untuk memadamkan sahaja video berkenaan dan menghormati arwah yang sudah pergi menghadap ilahi. Berdasarkan tinjauan, ruangan komen turut dihujani dengan teguran dari netizen yang menegur video yang dimuat naik Shuib ini.
“Kalau boleh simpan video ni untuk tatapan sendiri je. Kesian arwah dapat saham dosa…”
“Abang Shuib cari yang tutup aurat untuk pos dekat social media…”
Sekadar info, Shuib mendirikan rumah tangga bersama Siti Sarah pada tahun 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya mata. Penyanyi itu yang dijangkiti Covid-19 sempat melahirkan anak bongsu mereka, Ayash Affan sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
Terdahulu, Shuib mengesahkan sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan Watie dan bersedia untuk membawa hubungan itu ke fasa yang seterusnya. Malah dia juga berkongsikan akan mendirikan rumah tangga bersama wanita itu pada pertengahan tahun ini.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.