Pelawak, penyampai radio dan usahawan, Shuib baru-baru ini mendedahkan akan bernikah dengan pilihan hatinya, Watie Jun nanti. Menceritakan mengenai Shuib nikah Watie Jun nanti, persiapan yang dibuat baru 30 peratus selesai secara keseluruhannya.
Sebelum ini hubungan Shuib dan Watie jadi teka-teki ramai selepas beberapa video memaparkan mereka bersama tular. Tidak menafikannya, Shuib akui sedang mengenal hati budi dan berkawan dengan usahawan, Watie Hanifiah.
Majlis berlangsung Jun ini
Menurut Shuib nikah Watie Jun nanti dan tarikh akan dimaklumkan kemudian serta beberapa persiapan sudah siap.
“Insya-Allah, majlis akan berlangsung selepas raya iaitu pada Jun depan. Nanti saya akan beritahu tarikhnya.
“Persiapan dari segi dewan sudah dilakukan. Saya akan menjalankan majlis pernikahan dan persandingan. Tetapi, dari segi busana belum lagi.
Shuib mahu majlis ringkas namun…
Tambah Shuib atau nama penuhnya Shahmira Muhamad, dia akui tidak mahu majlis terlalu meriah namun memikirkan ini adalah perkahwinan pertama Watie, jadi sudah tentu ia akan diraikan dengan meriah.
“Saya tak mahu majlis pernikahan terlalu meriah, tak mahu juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga. Ini adalah perkahwinan pertama Watie, jadi sudah tentu keluarga mahu majlis meriah meraikan kami.”
Tambah Shuib lagi, anak-anak dan keluarga selesa dengan Watie serta menganggap ianya satu anugerah.
“Saya harap ia akan berjalan dengan cukup baik. Saya pula sudah tentu berdebar, tetapi bila saya tengok anak-anak, saya rasakan perlukan seseorang untuk ada bersama saya,” kata Shuib.