Kalau disebut nama Beto Kusyairy, pastinya ramai yang cukup suka dengan pelakon yang sangat berbakat besar ini. Malah Beto juga menjadi pelakon kegilaan ramai terutamanya selepas membintangi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan menunjukkan bakatnya yang handal bersilat.
Selain itu, kemunculan Beto yang tampil bersilat dalam satu acara pertunjukan fesyen baru-baru ini juga turut menjadi viral di media sosial. Pelawak Shuib turut tidak terkecuali untuk meniru gaya pelakon berbakat itu apabila dia memuat naik satu video di mana dia menggayakan busana baju Melayu.
Tak cukup dengan itu, Shuib juga turut menggunakan lagu yang cukup sinonim dengan Beto iaitu lagu Lemak Manis nyanyian Haziq Rosebi. Namun apa yang menjadi tumpuan ramai ialah sampin pendek yang digayakan oleh Shuib sekaligus membuatkan ramai berdekah melihatnya.
Ramai terhibur
Mana tidaknya, Shuib dilihat memakai sampin bersaiz kanak-kanak yang nampak singkat dan kecil untuk orang dewasa. Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut ‘membahan’ pelawak itu gara-gara sampin pendek yang dipakainya ini.
Malah netizen turut berseloroh bertanyakan sama ada Shuib meminjam sampin milik anak lelakinya di dalam video tersebut. Dalam masa yang sama, ada yang menganggap mungkin juga Shuib ingin menunjukkan statusnya sebagai orang bujang dengan sampin pendek di atas lutut ini.
“Ini betul kussemangat. Macam letak boxer je kau buat sampin tu ye.”
“Tu boxer songket ke?”
“Sampin anak ke macam mana tu?”
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.