Awal pagi tadi, pelakon Puteri Sarah Liyana tiba di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya, Syamsul Yusof. Pelakon wanita itu juga memberitahu keputusan tersebut adalah muktamad dan dia tidak akan menarik semula hasratnya untuk berpisah dengan suami.
Terbaru, Puteri Sarah meluahkan rasa lega apabila prosiding memfailkan perceraian itu selesai dengan lancar. Semasa menemui pihak media, pelakon itu memberitahu dia merasakan satu beban sudah terlepas dari bahunya selepas selesai memfailkan tuntuan cerai terhadap suaminya itu.
“Sarah sudah jalankan tanggungjawab dengan terbaik. Sarah juga sudah berbincang dengan keluarga termasuk mentua, berjumpa ustaz dan melakukan solat istikharah agar diberi petunjuk. Inilah yang terbaik dan Allah sudah tunjukkan jalan.”
Tarikh sebutan semula kes
Sarah turut memberitahu tarikh sebutan kes permohonan cerai yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah Kuala Lumpur adalah pada 7 Mac yang akan datang. Tambah pelakon itu, tarikh tersebut sangat signifikan kerana ia merupakan sehari sebelum tarikh ulang tahun kesembilan perkahwinan mereka iaitu pada 8 Mac.
“Kita mulakan (kehidupan rumah tangga) pada 8 Mac (2014), kita habiskan 8 Mac ini.”
Jelasnya lagi, tempoh selama sembilan tahun menjadi isteri kepada Syamsul Yusof sudah memadai untuknya dan menganggap sudah tiada rezekinya lagi untuk terus bergelar isteri kepada pengarah filem tersohor itu.
“Cukuplah sembilan tahun saya jadi isteri kepada Mohd Syamsul. Nampaknya tiada rezeki sudah.”
Puteri Sarah turut menafikan dakwaan bahawa dia adalah seorang yang anti poligami susulan perkahwinan suaminya dengan Ira Kazar baru-baru ini. Sebaliknya dia memberitahu poligami akan menjadi indah sekiranya seorang suami berlaku adil manakala untuk kesnya ini, dia berasa tertipu dan tidak diajak berbincang.
Sekadar info, konflik rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul Yusof mula diperkatakan sejak empat tahun yang lalu namun pengarah filem itu enggan mengeluarkan sebarang kenyataan. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mempunyai dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam yang berusia lima tahun dan Sumayyah berusia tiga tahun.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.