Penyanyi Indonesia, Tegar Septian memberitahu dia berasa tertipu selepas mendapat tahu anaknya bersama bekas isteri selama ini bukanlah anak kandungnya. Tegar mendedahkan perkara itu semasa membuat sesi ‘live’ di akaun Tik Tok miliknya baru-baru ini.
Menurut Tegar, selepas beberapa bulan berpisah dengan bekas isterinya, dia terkejut apabila mendapat tahu anak mereka iaitu Abidzar Oktaviano Putra Septian bukanlah anak kandungnya. Dia mendakwa bekas isterinya itu sudah hamil sebelum bernikah dengannya tiga tahun yang lalu.
“Selama tiga tahun baru tahu selama ini saya dibohongi, ya dia sudah ada anak (hamil) sebelum bernikah.”
Semasa ditanyakan tentang siapakah bapa kepada anak itu, Tegar meminta netizen untuk melihat sendiri Instagram bekas isterinya dan merujuk kepada kekasih wanita itu. Dalam masa yang sama, penyanyi itu memberitahu dia berani untuk melakukan ujian DNA untuk mengesahkan perkara tersebut.
Reaksi bekas isteri
Susulan isu yang menjadi bualan ramai ini, bekas isteri penyanyi tersebut iaitu Sarah Sheilka memuat naik beberapa Instagram Story menafikan tuduhan itu. Menurutnya, Tegar sengaja mereka cerita supaya terlepas daripada membayar nafkah kepada anak mereka.
“Cari sensasi, cari muka, cari perhatian. Hidupmu mau dibelas kasihan orang…”
Dia turut menegaskan dia baru sahaja mengenali kekasihnya sekarang ini pada bulan Ogos 2022. Tambahnya lagi, dia tidak kisah sekiranya Tegar tidak mengaku Abidzar adalah anaknya kerana dia mampu menguruskannya sendiri. Malah dia memberitahu sebelum ini juga Tegar hanya mengirimkan wang 500 rupiah sahaja untuk anak mereka sekiranya diminta.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.