Pada minggu lalu, penyanyi Tomok telah meraih perhatian ramai gara-gara insiden anaknya tertumpahkan pengilat kuku di dalam butik pakaian terkenal. Lebih malang lagi, Tomok terpaksa membayar ganti rugi lebih RM5,000 susulan kejadian yang berlaku ini.
Penyanyi itu kemudiannya bertindak menjual semula pakaian koleksi vintaj tersebut pada harga diskaun di Instagram. Difahamkan, kesemua pakaian itu telah habis dibeli oleh rakan-rakan artis dan peminat Tomok termasuklah pelawak Shuib yang bantu membelinya.
Dapat rezeki tak dijangka
Tomok di dalam satu temu bual memberitahu, selepas kejadian yang berlaku ini dia telah menerima satu rezeki yang tidak disangka-sangka. Penyanyi itu turut meluahkan rasa syukur apabila insiden tersebut telah membuka peluang pekerjaan untuknya sehingga ke negara jiran.
“Selepas kejadian, orang panggil saya untuk buat persembahan di Singapura, Kedah dan beberapa lokasi lain lagi. Saya dapat rezeki yang tidak disangka-sangka dan yang penting tawaran tersebut bayarannya lebih daripada kerugian yang saya hadapi.”
Tambahnya, tawaran kerja yang diberikan kepadanya itu akan berjalan sehingga selepas raya kelak. Dalam masa yang sama, Tomok turut berterima kasih kepada semua yang mendoakannya selepas kejadian yang berlaku itu.
Terdahulu, Tomok memberitahu dia dan keluarga memasuki sebuah butik pakaian selepas berbuka puasa semasa kejadian pengilat kuku anaknya tertumpah. Akibat kejadian itu, beberapa pakaian yang berada di dalam butik telah terkena tempias pengilat kuku itu menyebabkan Tomok terpaksa membayar ganti rugi.
“Dalam hati saya agak takut juga kerana amaun yang perlu dibayar tinggi tetapi saya perlu kekal tenang dan mengawal emosi kerana tidak mahu tunjuk contoh buruk di depan anak-anak.”
Kebanyakan netizen turut memuji reaksi tenang yang diberikan oleh Tomok susulan kejadian yang berlaku ini. Malah rata-rata netizen menganggap tindakan Tomok yang mengawal situasi itu dengan tenang layak untuk dijadikan sebagai contoh kepada ibu bapa di luar sana.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.