Berita mengenai banglo seram Bukit Gasing ini akhirnya terjual telah menerima pelbagai reaksi dari warganet. Kisah mengenai banglo yang dianggap seram oleh ramai orang ini sudah menjadi perhatian sejak dari dulu lagi.
Rumah mewah yang terletak di Petaling Jaya, Selangor itu terbiar sepi sejak sekian lama. Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Muhammad Ishaq, rumah banglo ini telah dijual dengan harga lelong RM4.4 juta.
Khabar angin mengenai banglo ini
Malah khabar angin di internet mengaitkan pelbagai kewujudan makhluk halus dan terdapat ritual mistik diadakan di sekitar kediaman usang tersebut. Disebabkan itu ramai yang tertanya-tanya apakah yang sebenarnya terjadi kepada pemilik rumah banglo ini sehinggakan ia ditinggalkan sepi begitu.
Milik seorang lelaki yang digadaikan kepada bank
Menerusi tulisan oleh Muhammad Ishaq, difahamkan banglo ini adalah milik seorang lelaki yang kini berusia 61 tahun, Raymond Goh atau nama panggilannya Shihan Goh. Pada 15 Mac 2013, banglo tersebut digadaikan kepada bank.
Individu ini dikatakan seorang pakar dalam seni pertahanan diri (jui-jitsu) dan juga penganut Kristian kuat berdasarkan penemuan dokumen dan keadaan rumah yang penuh dengan simbol salib.
Reaksi ramai
Khabar mengenai rumah ini akhirnya terjual telah membuatkan ramai tertarik untuk mengetahui keadaan banglo tersebut selepas diubah suai. Malah ada juga yang berpendapat pemilik baru banglo tersebut sangat beruntung kerana dapat memilikinya dengan harga yang sangat murah.
Selain dari itu ada juga warganet yang mengucapkan tahniah kepada pemilik baru banglo seram Bukit Gasing ini kerana dapat percuma ‘pembantu rumah’ yang hanya muncul di tengah malam.