Tular di media sosial video seorang bekas pemain badminton negara yang telah mengeluarkan satu kenyataan yang membangkitkan kemarahan ramai. Di dalam video tersebut, bekas pemain negara dikenali sebagai Bong Guang Yik mengatakan prestasi pemain badminton negara merudum kerana pengurusan yang diuruskan oleh orang Melayu.
Difahamkan, bekas pemain badminton negara itu kini menetap di negara China dan bertugas sebagai jurulatih badminton di sana. Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Tik Tok itu, dia berkata punca kepada masalah prestasi pemain negara yang kian merudum adalah disebabkan pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dipenuhi kaum Melayu.
Jelasnya, banyak layanan yang tidak adil diberikan BAM kepada para pemain. Tambahnya lagi, BAM terlalu memfokuskan kepada Dato’ Lee Chong Wei semasa di era kegemilangannya dan tidak memberikan perhatian kepada pemain muda pada waktu tersebut.
Tidak cukup dengan itu, dia turut mengatakan pengurusan BAM yang dipenuhi dengan kaum Melayu menjadi punca kepada masalah ini. Malah dia turut menyentuh tentang isu perkauman dan agama apabila mengatakan pegurusan BAM yang dipenuhi kaum Melayu yang solat lima waktu sebagai punca untuk permasalahan itu.
“Jangan bagi orang Melayu, jadi tukarlah kepada orang Cina. Cuba tengok, ada kemajuan. Sebab orang Melayu bagi saya, semua malas dan tahu makan je. Sebab satu hari sembahyang 5 kali. Dia mana ada niat nak uruskan BAM dengan baik.”
Susulan video yang tular ini, rata-rata netizen turut mengecam dan mengkritik kenyataan yang dikeluarkan oleh individu tersebut. Malah ada juga yang menegurnya kerana telah menyentuh sensitiviti kaum dan agama di Malaysia sedangkan individu itu juga adalah rakyat Malaysia dan pernah menjadi pemain negara.
Terima perhatian menteri sukan
Difahamkan, isu ini telah mendapat perhatian dari Menteri Belia Dan Sukan iaitu Hannah Yeoh yang mengambil maklum tentang hal ini. Menurut Hannah Yeoh, individu tersebut bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 serta tidak lagi menetap di Malaysia.
“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.”
Tambah Hannah Yeoh, beliau percaya ibadat agama tidak pernah menjejaskan prestasi atlet dan sukan serta tidak pernah menjadi masalah di Malaysia. Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan sukan mestilah bebas dari sebarang unsur perkauman serta politik dan meminta para atlet berhati-hati dengan kandungan yang dimuat naik di media sosial.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.