Hari ini Farid Kamil memberikan tawaran pendamaian kepada isterinya, Diana Danielle sebagai salah satu usaha untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. Pelakon lelaki itu ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah sebentar tadi untuk menjalani prosiding sulh.
Menurut Farid, tawaran pendamaian yang dimaksudkan termasuklah sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai RM225,000, barang kemas bernilai RM10,700, wang pendahuluan nafkah selama empat bulan iaitu dari Mac hingga Jun 2023 bernilai RM40,000.
Malah Farid juga turut akan membayar balik kos perbelanjaan Umrah mereka sekeluarga pada bulan Februari lalu yang bernilai RM44,000. Difahamkan, jumlah keseluruhan tawaran pendamaian ini adalah bernilai RM319,700.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera, saya Farid Kamil Zahari dengan setulus hati di bulan Ramadan penuh barakah ini ingin menawarkan kepada isteri saya, Diana Danielle Danny Benson tawaran seperti berikut sebagai usaha untuk menyelamatkan keluarga yang amat saya sayangi.”
Farid turut berharap tawaran yang dikemukakan ini dapat melembutkan hati Diana demi masa depan anak-anak mereka. Terdahulu, Farid Kamil hadir menjalani prosiding sulh iaitu majlis perbincangan bersama antara pihak yang terbabit dalam suatu pertikaian, membabitkan satu atau lebih tuntutan dengan dipengerusikan oleh pegawai sulh.
Sekiranya satu persetujuan secara damai dapat dicapai secara sukarela di antara kedua-dua pihak iaitu Farid Kamil dan Diana Danielle, ia akan direkodkan oleh hakim sebagai satu perintah mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.