Sebagai ibu bapa, pastinya apa sahaja kemahuan anak akan diturutkan sehabis baik. Namun kejutan hari jadi yang diberikan oleh pasangan ibu bapa ini telah mendapat perhatian ramai apabila mereka menghadiahkan sebuah kereta Mercedes G Wagon kepada anak mereka.
Lebih mengejutkan, hadiah itu diberikan kepada anak perempuan mereka yang baru sahaja berusia lima tahun. Menerusi perkongsian video itu, ibu kepada kanak-kanak itu memberitahu Mercedes G Wagon merupakan kereta idaman anak perempuannya ini.
Oleh itu, dia memilih untuk menghadiahkan kereta tersebut bagi membakar semangat anaknya untuk rajin ke sekolah. Turut kelihatan di dalam video, kereta tersebut diletakkan di dalam sebuah trak jernih yang dipenuhi dengan belon semasa sambutan hari jadi anaknya itu.
Reaksi netizen
Perkongsian video itu kemudiannya menjadi viral dan menerima pelbagai reaksi dari netizen. Walaupun ramai yang kagum dengan hadiah yang diberikan ini, netizen turut berasa cemburu melihat nasib kanak-kanak berusia lima tahun itu yang telah memiliki kenderaannya sendiri.
Dalam masa yang sama, netizen turut berseloroh membandingkan dengan hadiah yang pernah diterima mereka semasa di usia yang sama dengan kanak-kanak itu. Setakat ini, perkongsian video itu telah menerima lebih sejuta tontonan di platform Tik Tok.
“Aku dulu umur 5 tahun dapat tali pinggang dengan ayah aku.”
“Tu diaa aku dulu kena libas 2 das kat belakang dengan mak.”
“Aku 5 tahun dulu dapat anak patung kertas je, asyik le tukau baju anak patung.”
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.