Sebutan permohonan hadanah membabitkan pasangan selebriti Farid Kamil dan Diana Danielle sudah selesai berlangsung pagi tadi. Difahamkan, prosiding pendengaran itu berkaitan dengan hak penjagaan kedua-dua anak mereka iaitu Muhammad, 10 tahun dan Nur Aurora, 8 tahun.
Sebaik sahaja keluar dari bilik prosiding, Farid kelihatan positif dan memaklumkan proses prosiding berjalan dengan lancar. Malah dia juga yakin ada sinar untuk berdamai dengan isterinya, Diana selepas kemelut yang berlaku pada rumah tangga mereka itu.
Dalam masa yang sama, Farid mengakui dia kini berusaha untuk menyelamatkan isteri dan anak-anaknya dan mahukan kehidupan mereka kembali seperti dahulu. Ujarnya, dia tidak akan mengalah dan akan menyelamatkan perkahwinan mereka yang sudah berusia 11 tahun.
“Saya sedang berusaha untuk menyelamatkan keluarga, isteri dan tengah dalam proses untuk memikirkan jalan terbaik bagi mencapai pendamaian. Pendamaian yang saya maksudkan itu, adalah kembali bersama dengan isteri saya dan memberi anak-anak kedua ibu bapa mereka kembali dan hidup secara normal seperti sedia kala.”
Diana mahu keadilan untuk anak-anak
Bukan hanya Farid, Diana Danielle juga dilihat dalam keadaan yang positif sebaik sahaja sesi prosiding selesai dijalankan. Menurut pelakon wanita itu, dia berharap mereka berdua dapat mencapai kata sepakat namun dalam masa yang sama enggan mengulas lebih lanjut mengenai kedua-dua anaknya untuk menjaga privasi mereka.
Semasa ditanyakan tentang isu ‘bilik’ yang tidak sesuai untuk anak perempuannya, Farid dan Diana memilih untuk berdiam diri serta tidak memberikan sebarang komen. Difahamkan, tarikh sebutan seterusnya kes ini akan berlangsung pada 30 Mei yang akan datang.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.