Baru-baru ini, penyanyi Nabila Razali meluahkan rasa kecewa apabila dia menjadi ‘bahan’ jenaka oleh seorang pelawak terkenal. Semuanya gara-gara jenaka yang dikatakan oleh Atu Zero semasa episod terbaru program The Masked Singer Malaysia.
Di dalam program tersebut, Atu Zero telah berseloroh mengatakan Nabila Razali sebagai penyanyi yang tidak boleh menyanyi secara ‘live’. Menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik di Instagram Story, Nabila meluahkan rasa tidak puas hati apabila kelemahannya itu dijadikan satu bentuk gurauan.
Nabila memberitahu jenaka tersebut mungkin kelakar pada orang lain namun tidak untuk dirinya yang sentiasa cuba memperbaiki kelemahan tersebut. Malah tambahnya lagi, hanya peminat sejatinya sahaja yang tahu dan memahami usahanya memperbaiki bakat nyanyiannya.
Susulan isu tersebut, Atu Zero telah tampil memohon maaf di atas keterlanjurannya semasa berkata-kata. Namun dia berharap komen tersebut dapat dijadikan sebagai pembakar semangat untuk penyanyi itu memperbaiki mutu nyanyiannya.
“Apa yang saya cakap ketika program itu bukannya tak betul. Perkara itu pernah viral sebelum ini. Jadi saya cakap sahajalah.”
Atu turut memberitahu dia telah pun menghantar mesej memohon maaf kepada penyanyi itu di Instagram namun belum menerima sebarang respon dari penyanyi itu. Dalam masa yang sama, Atu berjanji akan lebih berhati-hati semasa memberi ‘punchline’ supaya tidak menyinggung mana-mana pihak.
Terdahulu, Atu Zero memberikan komen kepada peserta Si Tangkis yang menyanyikan lagu Nabila Razali iaitu Pematah Hati. Semasa meneka tentang identiti peserta itu, Atu mengatakan individu tersebut bukanlah Nabila Razali kerana penyanyi itu tidak boleh menyanyi secara ‘live’.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.