Terdahulu, pelakon Puteri Sarah ada berkongsikan tentang bekas isteri Hafidz Roshdi yang menghubunginya untuk mendapatkan nasihat. Difahamkan, Shuhada berhubung dengan pelakon wanita itu susulan kemelut rumah tangga yang dilaluinya itu.
Seperti yang semua sedia tahu, Shuhada telah diceraikan dengan talak satu oleh Hafidz Roshdi menerusi panggilan telefon sambil disaksikan ahli keluarga yang lain. Tindakan pelakon itu menceraikan isterinya melalui panggilan telefon sahaja turut menjadi perbualan hangat di media sosial.
Terpanggil untuk bercakap mengenai isu ini, Puteri Sarah berpendapat tindakan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan cara begitu adalah tidak patut. Malah baginya, ia adalah satu tindakan yang pengecut dan tidak bermaruah.
“Saya rasa itu adalah tindakan yang pengecut. Sepatutnya kalau awak ambil anak dara orang cara baik, pulang pun cara baik. Jangan nak guna WhatsApp, nak guna telefon untuk berbuat demikian.”
Tambahnya lagi, seorang suami perlu lah menggunakan cara yang betul dan jangan bertindak mengikut emosi sehinggakan ia boleh menjatuhkan maruah isteri sebagai seorang wanita. Dia turut menyarankan para suami mengikut prosedur yang betul sekiranya mahu melepaskan isteri mereka.
“Kesian. Kita sebagai wanita akan rasa macam kita ni tak bermaruah tau bila buat macam tu. Bila kau tak suka dengan kita, kau buat macam tu pulak. That is not the way.”
Pelakon wanita itu berkata tidak kira bagaimana marah sekalipun, suami perlu lah mengikut cara yang betul dan tidak bertindak terburu-buru kerana terikutkan perasaan marah. Terdahulu, Puteri Sarah memaklumkan pernah memberikan tunjuk ajar kepada Shuhada tentang tindakan yang boleh diambil untuk kes curang suaminya selepas dihubungi oleh wanita itu.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.