Baru-baru ini, dunia hiburan digemparkan dengan berita kemelut rumah tangga penyanyi veteran Datuk ND Lala dan isterinya Datin Fauziah Sarman. Dikatakan ND Lala telah mengahwini seorang wanita muda yang didakwa sebagai rakan baik kepada anaknya, Shila Amzah.
Selepas sekian lama mendiamkan diri, Shila akhirnya tampil bersuara mengenai konflik rumah tangga yang dihadapi ibu bapanya ini. Ujar Shila, dia menafikan Siti Munirah yang dikatakan sebagai ‘penyondol’ itu adalah rakan baiknya namun tidak menafikan dia mengenali wanita itu sejak di bangku sekolah.
“Sudah tentu saya mengenalinya. Pada saya, tidak ada orang baik yang akan berkelakuan seperti itu. Saya tiada ucapan baik mahupun buruk kepadanya. Segala rasa untuk diberikan tidak memadai kepadanya sama ada sayang atau benci. Saya rasa dia tidak layak menerima apa saja rasa daripada saya.”
Pernah rapat di zaman sekolah
Tambahnya, mereka sememangnya rapat semasa di zaman persekolahan malah Siti Munirah juga sering bermalam di rumahnya. Shila memberitahu wanita itu juga sering berkongsikan mengenai masalahnya namun hubungan mereka sudah tidak lagi rapat seperti dahulu selepas menginjak dewasa.
“Saya anggap kami tiada persefahaman saja. Namun, dia lebih rapat dengan mak berbanding saya selepas tamat sekolah. Ini adalah realiti dan saya perlu perjelaskan kerana dia bukan kawan baik saya.”
Dalam masa yang sama, Shila menganggap apa yang berlaku kepada keluarganya ini sebagai satu ujian dan percaya ada hikmah di sebalik yang terjadi. Shila menyifatkan masalah yang berlaku ini sebagai perkara yang menjadi titik tolak untuk mereka sekeluarga memperbaiki diri pada masa akan datang.
Terdahulu, ibu Shila Amzah memuat naik gambar wanita dikenali sebagai Siti Munirah di Instagram dengan kapsyen memperkenalkan wanita itu sebagai isteri kepada ND Lala. Sebelum itu juga, timbul desas desus mengenai pergolakan rumah tangga pasangan ini yang dikatakan berpunca dari orang ketiga.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.