Sebelum ini, pelakon dan pengacara Amelia Henderson pernah meluahkan hasratnya ingin menyertai Miss Universe Malaysia. Ramai juga yang memberikan sokongan buat pelakon itu sekiranya benar dia mahu menyertai pertandingan ratu cantik itu.
Baru-baru ini pula, Amelia berkongsikan dia sudah mendapat restu dari datuknya yang memberi keizinan sekiranya dia mahu menyertai pertandingan tersebut. Jelas Amelia, restu yang diberikan ini juga seakan-akan menguatkan lagi hasratnya untuk turut sama bertanding.
“Atuk saya sudah 94 tahun yang sudah kabur pandangannya dan kadang-kadang tak berapa nampak saya setiap kali datang berjumpanya. Pendengaran dia pun kurang jelas. Ibu saudara saya ada hantar sebuah video bertanya kepada atuk sama ada patutkah saya sertai Miss Universe Malaysia? Dia terus setuju dan cakap saya patut cuba nasib.”
Amelia memberitahu sokongan yang diberikan oleh ahli keluarganya ini juga membuatkan dia lebih tertarik untuk menyertai pertandingan tersebut. Malah dia juga turut rasa bersalah sekiranya tidak menunaikan hasrat atuknya yang ingin melihat dia menyertai Miss Universe Malaysia.
Ada perkara perlu dipertimbangkan
Namun pelakon itu menjelaskan ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan kerana baginya dia tidak mahu menyertai pertandingan itu hanya atas dasar suka-suka sahaja. Malah dia juga perlu memikirkan soal kerja dan latihan yang perlu dilakukan sebelum menyertainya.
“Sebab sekarang banyak urusan kerja masih perlu saya fikir juga. Untuk mengambil kelonggaran pergi luar negara, jalani latihan, semestinya saya kena beri yang terbaik dan perlu tersusun.”
Sementara itu, Amelia turut mengambil kira prinsip pertandingan itu terutama soal pemerkasaan wanita dalam membuat pilihan. Menurutnya, pemerkasaan wanita itu merangkumi kemampuan dan kebolehan wanita untuk memilih dalam sesuatu perkara.
“Saya tak nak buat sesuatu yang saya rasa diri tidak selesa. Kalau pilihan saya tak didengari dan terpaksa melakukan sesuatu demi puaskan pihak tertentu, saya takkan masuk. Lebih baik saya fokus pada rezeki yang ada sekarang, sudah cukup.”
Sekadar info, Miss Universe kini membolehkan wanita yang berkahwin, pernah bercerai dan ibu berusia 18 tahun sehingga 27 tahun untuk bertanding dalam pertandingan ratu cantik terbesar di dunia itu.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.