Siapa sahaja yang tidak kenal dengan pelakon air mata, Wan Maimunah ini. Seorang aktres yang sudah bertahun lamanya berkongsikan bakat dengan menghiasi pelbagai telefilem dan drama di televisyen.
Terbaharu, Wan Maimunah meluahkan rasa apabila dia diberi tawaran untuk berlakon telefilem dengan bayaran hanya RM200 sahaja. Menerusi laporan Harian Metro, pelakon berusia 65 tahun itu berkata isu bayaran rendah kepada pelakon veteran sudah banyak diluahkan namun masih tiada jalan penyelesaian.
Tawaran hanya RM200 satu telefilem
Menurut Wan Maimunah, dia tidak merajuk dan masih sayangkan karier lakonan ini kerana sudah sebati dengan diri. Namun bila difikirkan tawaran bayaran terlalu rendah dan tidak setimpal dengan hanya RM200, lebih baik dia berehat di rumah.
“Rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana. Cuma, rasa sedih itu membuat hati saya sebak mengenangkan RM200 saja ditawarkan untuk berlakon sebuah telefilem. Jumlah babak mesti banyak dan sudah tentu memenatkan. Tapi, tak apalah memang bukan rezeki saya,” kata aktres veteran ini.
Sementara itu, Wan Maimunah mengulas mengenai dirinya pelakon gred A, katanya itu orang yang melabelkan. Hakikatnya hanya dia dan produksi sahaja tahu jumlah bayarannya.
Pilih tawaran bayaran berbaloi
Tambahnya lagi disebabkan isu diskriminasi bayaran dilaluinya itu, Wan Maimunah lebih sanggup terima tawaran dari syarikat produksi baru untuk berlakon filem pendek. Ini kerana jumlah tawaran bayarannya jauh lebih baik berbanding syarikat lama.
Dalam pada itu, ujar pelakon air mata ini dia masih mampu untuk menguruskan hidup dan sekali-sekala makan di luar. Malah katanya kadang-kadang ada yang tolong bayarkan bil makannya yang tak disangka-sangka.
“Saya tetap yakin Allah bersama dengan hamba-Nya yang tidak putus berdoa. Setakat ini untuk makan minum saya masih mampu. Sekali sekala keluar makan pun akan ada orang tak dikenali bayarkan. Tau-tau sahaja sudah selesai,” kata Wan Maimunah menerusi laporan Harian Metro.