Seorang YouTuber dari Korea Selatan dikenali sebagai Mhyochi berkongsikan detik cemas apabila dia telah dicabul semasa melakukan sesi ‘live’ di India. Video tersebut kemudiannya tular di media sosial dan meraih perhatian warganet yang bengang dengan situasi tersebut.
Difahamkan, wanita yang merupakan seorang YouTuber itu kini berada di India dan sering melakukan ‘live’ bersama pengikutnya. Namun dia tidak menyangka akan dicabul oleh seorang lelaki tempatan selepas bertegur sapa dengannya semasa bersiar-siar di kawasan itu.
Pada awalnya, dia menyambut baik teguran dari lelaki itu yang kemudian mula menghampirinya sebelum bertindak mencium wajah wanita itu. Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut turut menarik wanita itu untuk duduk di motorsikalnya walaupun Mhyochi jelas tidak menyukainya.
YouTuber itu kemudian beredar dari situ namun masih lagi diekori oleh lelaki terbabit yang menaiki motorsikalnya dan bertanyakan tentang nama serta nombor telefonnya. Wanita itu akhirnya diselamatkan oleh seorang lelaki yang berada di tempat kejadian yang cuba membawanya keluar dari situ.
Kejadian yang berlaku ini kemudian menjadi bualan hangat penduduk tempatan di mana dua pelaku itu telah ditahan oleh pihak berkuasa. Namun berdasarkan tinjauan di akaun Twitter Mhyochi, kedua-dua pemuda yang berusia 19 dan 21 tahun itu telah dibebaskan dengan ikat jamin.
Dalam masa yang sama, wanita itu turut meluahkan rasa bimbang untuk keluar melakukan ‘live’ lagi selepas apa yang berlaku. Susulan kejadian itu, ruangan komen YouTuber terbabit telah dihujani dengan permohonan maaf dari rakyat India yang berasa malu dengan tindakan dua pemuda tersebut.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.