Baru-baru ini, skuad Harimau Malaya berjaya menumpaskan Thailand di dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Walaupun Malaysia telah merekodkan kemenangan hebat ini, timbul beberapa isu kurang menyenangkan tentang sikap penyokong bola sepak di stadium.
Menerusi hantaran di Twitter, tular video di mana para penyokong Harimau Malaya dilihat melemparkan cawan berisi minuman secara rambang di dalam stadium. Tindakan mereka ini bukan sahaja membuang sampah merata-rata tetapi turut menambahkan kotoran dengan minuman yang dibaling itu.
Malah lelaki di dalam video itu turut dilihat melemparkan cawan yang mengandungi air dan sos untuk dibaling kepada penonton lain dalam stadium. Walaupun ada yang mendakwa mungkin selepas itu mereka kembali mengutip semula cawan-cawan tersebut namun ianya tetap meninggalkan kotoran di kawasan tempat duduk penonton.
‘Rampas’ tempat duduk orang lain
Selain itu, tular juga video di mana beberapa individu yang mendakwa tempat duduk mereka telah ‘dirampas’ oleh penyokong yang lain. Mereka bukan sahaja tidak duduk mengikut nombor tiket yang dibeli malah memerli individu lain yang kononnya baru pertama kali datang ke stadium.
Apabila ada yang datang untuk duduk di kerusi yang telah dibayar harganya, sekumpulan penyokong bola sepak itu mengatakan ‘siapa cepat dia dapat’ dan membiarkan sekumpulan individu ini terpinga-pinga selepas kehilangan tempat duduk mereka.
Kebanyakan netizen turut menyeru pihak berwajib untuk melakukan sesuatu dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penyokong bola sepak ini. Terdahulu, penyokong bola sepak negara telah memalukan negara apabila ‘menyerang’ akaun Instagram penyanyi Jay Chou gara-gara isu konsert yang diadakan di stadium itu.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.