Kecoh di media sosial apabila ada peminat bola sepak tanah air yang tidak puas hati dengan pengurusan perlawanan separuh akhir Piala AFF kali ini. Difahamkan, sebanyak 21,000 buah kerusi tidak dapat dipenuhkan kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Malah sebelum ini juga, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan hanya 59,000 keping tiket sahaja yang akan dijual untuk perlawanan separuh akhir 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Tidak puas hati dengan isu yang berlaku ini, peminat bola sepak Malaysia telah menyerang akaun Instagram milik penyanyi itu.
Tinjauan di ruangan komen akaun Instagram Jay Chou mendapati rata-rata peminat bola meminta penyanyi itu membatalkan sahaja konsertnya malah ada juga yang meninggalkan kata-kata kesat kepada penyanyi dari Taiwan ini.
Sudah tempah sejak tahun 2019
Isu yang berlaku ini turut mendapat perhatian Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh yang menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya. Difahamkan, pihak pengurusan Jay Chou World Tour telah menempah stadium tersebut jauh lebih awal iaitu pada 13 Mac 2019 manakala pihak FAM menempah pada 18 Ogos 2022.
Untuk isu struktur pentas yang dalam pemasangan, dimaklumkan konsert memerlukan 14 hari untuk kerja-kerja memasang pentas oleh 500 krew termasuklah 185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 pembesar suara dan 800 lampu.
Malah mereka juga telah menangguhkan kerja pemasangan selama 2.5 hari untuk memberikan ruang kepada AFF. Bagi perlawanan separuh akhir pertama ini, Malaysia bakal bertemu dengan Thailand dan 59,000 tiket telah habis terjual dalam masa 24 jam.
Walaupun isu ini telah mendapat penjelasan dari Menteri Belia & Sukan, ramai yang berharap selepas ini stadium tersebut tidak dijadikan lokasi untuk membuat konsert. Sebaliknya diberikan keutamaan kepada perlawanan bola sepak tanah air namun ada juga yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.