Tular satu perkongsian video di Twitter apabila seorang wanita mendakwa satu jenama rempah ratus yang dijual di pasar raya mengandungi bahan berunsur babi. Perkongsian wanita itu pada asalnya dimuat naik di Tik Tok sebelum ianya viral dikongsikan semula di Twitter.
Di dalam perkongsian tersebut, wanita itu dilihat merakamkan beberapa produk rempah ratus yang ditemuinya di pasar raya. Dia kemudian menunjukkan bahan-bahan yang digunakan di dalam rempah tersebut selain cara-cara untuk menggunakan rempah itu yang turut tertulis di situ.
Wanita itu meminta orang ramai untuk berhati-hati semasa membeli kerana menurutnya produk rempah tersebut mengandungi unsur ‘pork’ atau babi yang haram dimakan umat Islam. Namun perkongsian wanita itu telah dikecam semula oleh netizen kerana dia telah menyebarkan salah faham yang besar.
Rupa-rupanya, perkataan ‘pork’ yang dijumpai pada produk tersebut bukanlah bahan kandungan rempah itu (ingredients) sebaliknya adalah kategori ‘sesuai digunakan untuk’ (use on). Ini bermaksud rempah ratus berkenaan sesuai digunakan sebagai bahan perapan untuk beberapa jenis daging seperti ayam, lembu, kambing, ikan dan termasuklah babi.
Komen netizen
Difahamkan, wanita itu telah memadam video tersebut dari akaunnya namun video itu telah pun tersebar luar di media sosial. Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memerli semula wanita tersebut yang bertindak melulu semata-mata demi konten di akaun Tik Toknya.
“Mesti time dia tengah rekod tu dia bangga giler sebab jadi orang pertama yang discovered…”
“Itulah pentingnya English education…”
Malah ada juga yang mengatakan inilah pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris yang baik supaya tiada salah faham yang berlaku. Perkongsian video tersebut kini viral di Twitter dan menerima hampir dua juta tontonan setakat ini.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.