Chef selebriti terkenal, Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce dikecam ramai selepas memuat naik gambar dia memegang Trofi Piala Dunia 2022. Menerusi beberapa gambar yang dimuat naik di akaun Instagramnya, Salt Bae dilihat meraikan kemenangan pasukan Argentina bersama para pemain.
Difahamkan, chef selebriti itu mendapat kebenaran dan akses untuk masuk ke dalam padang bagi meraikan kemenangan pasukan tersebut selepas upacara penyampaian hadiah selesai. Salt Bae juga turut bergambar bersama beberapa pemain Argentina untuk mengucapkan tahniah.
Namun tindakannya yang bergambar bersama trofi Piala Dunia itu telah mencetuskan rasa kurang senang netizen yang melihatnya. Ini kerana ada yang mendakwa trofi Piala Dunia itu hanya boleh dipegang oleh pemain dan mereka yang hanya berada dalam pasukan Argentina sahaja selaku pemenang.
Tidak cukup dengan itu, Salf Bae juga turut dikecam selepas dia dilihat menggigit pingat salah seorang pemain Argentina. Meninjau di ruangan komen, netizen turut meluahkan rasa kecewa melihat tindakan Salt Bae yang terlalu melebih-lebih meraikan kemenangan pasukan Argentina seolah-olah dia adalah pemain mereka.
“Anda tak patut sentuh piala tu, anda bukan juara.”
“Sepatutnya hanya pemain dan staff yang bekerja keras untuk jadi pemenang sahaja yang berhak pegang. Anda cuma mahukan perhatian.”
Malah satu rakaman tular di media sosial di mana pemain Argentina, Lionel Messi dilihat seperti kurang senang apabila chef selebriti itu mahu mengambil gambar bersamanya. Difahamkan pada ketika itu, Messi sedang meraikan kemenangan bersama pasukannya dan bersalaman dengan rakan sepasukannya.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.