Biasanya, kuih popia goreng akan diisi dengan pelbagai jenis sayur, telur, ayam, atau daging yang dicincang untuk menjadi inti. Keunikan teksturnya yang rangup selepas digoreng dan dicicah dengan sos menjadikan makanan ini laris terutama pada waktu petang.
Namun, seorang pelanggan merasa kecewa apabila membeli popia goreng kosong dan memuat naik video di TikTok.
Video tersebut dikongsi oleh @sanusi_rashid dan menunjukkan bungkusan kulit popia yang dibuka perlahan-lahan dan cukup mengejutkan apabila hampir tiada inti yang terdapat di dalamnya.
Menerusi video tersebut, nampak makanan itu bersaiz besar kerana dibungkus dengan kulit popia yang tebal. Difahamkan popia tersebut dijual dengan harga RM1 sebiji dan hanya diisi dengan dua urat tauge sahaja.
Dari video tersebut, peniaga tersebut kelihatan seolah-olah hendak mengaut keuntungan lebih dengan menjual hidangan yang tidak masuk akal. Tindakan ini juga dianggap sebagai melanggar “hukum” resepi popia goreng yang seharusnya mempunyai inti mencukupi.
Hingga kini, video tersebut telah meraih lebih daripada 200,000 tontonan dan lebih daripada 3,000 tanda suka.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen menganggap penjual seperti ini tidak ikhlas dalam berniaga.