Beberapa hari lalu Malaysia dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali, Selangor. Tragedi tersebut melibatkan sebuah kebun dan tapak perkhemahan berhampiran yang menyebabkan puluhan mangsa maut dan tercedera.
Sehingga ke hari ini operasi pencarian mangsa masih dilakukan dengan bantuan pelbagai jabatan kerajaan terlibat. Bagaimanapun, terbaharu pengendali Father’s Organic Farm, Frankie Tan tampil buat pertama kalinya dalam satu sidang media.

Tidak lari dan akan bertanggungjawab
Dalam sidang media tersebut dia menegaskan yang tidak akan lari dari tanggungjawab atas kejadian tragedi tanah runtuh itu biarpun sebenarnya ia tidak berlaku dalam kawasan ladang.
“Sebagai pengendali tapak perkhemahan ini kami ingin menyatakan yang kami tidak akan lari dari tanggungjawab,” jelas pengendali Father’s Organic Farm mengenai tanggungjawab mereka atas kejadian berlaku.
Tanah runtuh berlaku di luar kawasan ladang
Selain dari itu Frankie Tan juga turut menjelaskan tanah runtuh itu tidak berlaku di tapak perkhemahan milik ladang tersebut tetapi di tanah yang lain.
Tambahnya lagi tanah runtuh yang berlaku itu adalah milik kerajaan iaitu kira-kira 2 atau 3 kilometer dari tanah ladang yang mereka pajak. Malah dia turut menyatakan bahawa tapak tanah runtuh adalah hutan besar yang tidak pernah dibangunkan.

Selain dari itu, sebelum ini pihak pengurusan Father’s Organic Farm turut meluahkan rasa dukacita atas kejadian malang ini menerusi muat naik di Facebook mereka lapor Sinar Harian. Malah mereka juga menghargai jasa anggota yang membantu misi pencarian mangsa.