Tular di platform Twitter klip video memaparkan gelagat pasangan ‘influencer’ yang mendedahkan bayi mereka kepada bahaya. Menerusi video yang dimuat naik ini, pasangan itu telah membawa bayi mereka yang baru berusia 5 bulan menaiki jetski di perairan air.
Di dalam video itu, bapa bayi tersebut mendukung anaknya dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi memandu jetski terbabit. Manakala ibu bayi itu pula memegang kamera di sebelah tangan untuk merakamkan momen tersebut.
Dalam masa yang sama, kedua-dua mereka dilihat memakai jaket keselamatan namun anak mereka terdedah kepada bahaya. Tindakan pasangan ini turut mencetuskan kemarahan ramai kerana aktiviti ekstrem seperti itu tidak sesuai untuk bayi yang masih kecil itu.
Lebih membangkitkan kemarahan netizen, tindakan lelaki itu yang memecut laju jetski yang dipandu sambil disorak oleh isterinya. Meninjau di ruangan komen, netizen turut menegur pasangan ini yang lebih mementingkan konten di media sosial berbanding keselamatan anak mereka sendiri.
Malah ada yang mengatakan tindakan mereka ini sebagai keterlaluan dan boleh menyebabkan bayi itu terdedah kepada bahaya seperti lemas kerana tidak ada memakai sebarang alatan keselamatan seperti pelampung pada badannya.
Berdasarkan tinjauan, pasangan berasal dari Indonesia ini mempunyai jumlah pengikut yang sangat ramai di mana wanita itu mempunyai lebih 32 juta pengikut di Instagram. Sebelum ini juga, netizen pernah meluahkan rasa kurang senang apabila dia sering menjadikan anaknya sebagai konten di media sosial.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.