Seperti semua yang kita tahu, drama bersiri Projek: High Council meraih perhatian ramai dari penonton seluruh Malaysia kerana kehebatan jalan ceritanya, lebih-lebih lagi para pelakon yang membintanginya. Bagaimanapun, drama tersebut sudah tamat ditayangkan dan ramai yang masih belum ‘move on’ dengan drama itu.
Sebaik sahaja drama episode itu berakhir, penyanyi dan pelakon Naim Daniel memuat naik satu hantaran video di TikTok miliknya menggambarkan keeratan hubungan para pelakon Projek High Council.
Susulan video tular itu, ia mengundang reaksi yang pelbagai dari warganet kerana menunjukkan aksi mencium pipi sesama pelakon. Menjengah ke ruangan komen, segelintir warganet menyifatkan aksi tersebut adalah lambang bromance antara pelakon. Malah, ada juga yang memandang sinis seperti sebuah aksi songsang.
Menurut laporan, Naim menjelaskan video berdurasi 30 saat itu hanya menunjukkan keakraban mereka dan tiada apa-apa yang serius. Tambahnya, mungkin ada pihak yang datang dengan naratif tersendiri dan dia tidak dapat menghalang mulut orang untuk berfikiran sebegitu.
“Kami pelakon Projek High Council sudah bergelumang dengan duka tawa selama 66 hari menjayakan penggambaran siri ini.
“Bayangkan kalau tiada babak pun kami akan turun untuk beri sokongan antara satu sama lain. Kami sangat rapat dan tiada segan silu menyatakan ‘I love you, bro’.
Sementara itu, Naim menegaskan kebanyakan orang dalam industri mengenali pembawakannya yang mesra alam, kebudak-budakan serta tidak kisah menunjukkan kasih-sayang kepada sesiapa yang baik terhadapnya.
“Malam itu lepas watch party, saya kata jom buat video dan mereka semua on untuk buat video itu. Sekadar humor dan kami berdekah.
“Tapi saya tak nafikan juga setiap apa yang saya post boleh mencetuskan perbualan. Ada golongan mempunyai pendapat berbeza. Saya buka ruang untuk semua berbincang. Ada yang cakap cium pipi sahabat itu sunnah. Kalau perempuan cium pipi perempuan adakah mereka pun tak betul juga? Kita cuba nak buang stigma dalam kalangan orang lelaki, asalkan kita tahu batas dan tidak menyakiti sesiapa.
Dalam pada masa yang sama, Naim seorang yang tidak cepat melatah mengenai tuduhan-tuduhan daripada warganet yang menggambarkan kononnya Naim berada dalam golongan LGBT.
Sementara itu, Naim juga boleh dikatakan berfikiran terbuka, dia mengatakan dia bekerjasama dengan semua golongan kerana baginya, tidak ada masalah untuk bekerja dengan mereka yang dating daripada komuniti tersebut.
Namun, dari kecil lagi Naim bekerjasama dengan jurusolek, pereka fesyen yang mungkin daripada komuniti tersebut, tetapi dia hormat mereka dan bukanlah dia bermaksud dia seorang homophobic.
“Saya selalu meraikan orang, namun kalau komuniti tersebut ada pandangan dan ingin pandangan mereka diterima dengan cara tersendiri, bagaimana pula dengan orang yang tiada pandangan sama yang seperti mereka? Katanya perlu raikan pendapat, jadi hormatilah.
Untuk makluman, semasa Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) yang lalu, seluruh Malaysia terkesima dengan persembahan Naim menyanyi secara terbalik itu dan ia melayakkan Naim Daniel menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR).