Kebiasaannya pihak sekolah akan menjemput pakar motivasi untuk menaikkan semangat pelajar menjelang peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang pakar motivasi yang sedang memberikan motivasi kepada pelajar di sebuah sekolah.
Menerusi video yang dikongsikan itu, pakar motivasi tersebut meminta seorang pelajar perempuan untuk melaungkan kata-kata semangat dengan kuat. Turut dapat dilihat, pelajar terbabit berdiri di hadapan ramai sambil disaksikan pakar motivasi itu yang berdiri di sebelahnya.
Pakar motivasi itu kemudian memintanya mengulang kata-kata semangat itu berkali-kali sehingga menyebabkan pelajar itu menangis pada akhirnya. Pada penghujung video, lelaki itu sempat mendoakan yang terbaik untuk pelajar itu dan berharap dia akan berjaya pada satu hari nanti.
Perkongsian video yang tular di Twitter ini telah menerima reaksi negatif dari netizen yang mengkritik cara pakar motivasi itu menyuntik semangat para pelajar. Malah ada yang menganggap cara tersebut terlalu ‘cringe’ dan keterlaluan serta membuatkan pelajar itu berasa malu kerana terpaksa menjerit sebegitu sekali.
Komen netizen
Dalam masa yang sama, netizen turut mengimbau semula kenangan semasa di zaman sekolah dahulu di mana mereka juga pernah melalui pengalaman yang sama. Tambah netizen, cara sebegini tidak membantu menaikkan semangat para pelajar dan pakar motivasi seharusnya mengubah cara mereka ini.
Malah ada yang berpendapat pihak sekolah perlu memeriksa terlebih dahulu kelayakan pakar motivasi yang dijemput untuk memberikan ceramah di sekolah. Terutamanya sekarang ini terlalu ramai yang akan menjadikannya sebagai bahan konten di media sosial.
“Dia yang jerit, aku yang malu. Tak mampu tengok sampai habis.”
“Ini lah sebab benci motivator. Tak habis-habis nak buat orang menangis.”
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.