Dalam hidup berumahtangga sememangnya ada asam garam yang mewarnai hubungan dan keluarga kecil yang dibina. Malah seringkali kita mendengar ada yang memberikan nasihat untuk sentiasa berkomunikasi dan bekerjasama dalam membina keluarga bahagia.
Dalam bekerjasama sudah tentunya tanggungjawab yang wajib dipikul seharusnya dijalankan dengan sebaiknya. Namun begitu, baru-baru ini satu luahan dari seorang isteri yang dikongsikan di Twitter telah meraih perhatian ramai.
Komitmen bulanan dibahagi dua
Dalam luahan tersebut, wanita berkenaan mengakui membayar separuh dari komitmen bulanan bersama suami. Menurutnya, pada awal perkahwinan dia bersetuju untuk membahagikan dua segala perbelanjaan dengan si suami kerana keduanya baru bekerja.
Tambahnya mereka berkongsi membayar segala bil selama bertahun-tahun sehinggakan si isteri merasakan ia sudah menjadi tanggungjawabnya biarpun sudah tahu gaji suami turut naik banyak.
Suami minta izin kahwin lagi satu dengan alasan mampu
Namun begitu, baru-baru ini si suami meminta izin pada isteri untuk berkahwin lagi satu dan mendakwa dirinya mampu. Si isteri tidak berpuas hati kerana selama ini suaminya rasa mampu disebabkan segala bil dibahagi dua. Jadi si suami merasakan ada lebihan dan mampu untuk beristeri dua biarpun segalanya isteri bantu bayar bil setiap bulan.
Wanita ini terus menerangkan yang selama ini dia merasakan mampu kerana komitmen dibahagi dua. Malah bila sudah beristeri baru nanti adakah dia akan membuat perkara sama? Terus terdiam suaminya.
Nasihat kepada isteri-isteri di luar sana
Sempat juga luahan isteri bantu bayar bil ini nasihatkan jika ada yang mahu bantu suami dalam kesempitan tolonglah letakkan syarat.
“So kalau husband korang nak split bills, please buat condition u akan tolong bayar until dia mampu bayar semua. Itu nafkah yang wajib husband u bagi”, tulis wanita ini.