Kontroversi membabitkan rumah tangga pempengaruh Tik Tok terkenal, View Chin telah menjadi bualan ramai sebelum ini. Semuanya bermula apabila isterinya, Shermine mendedahkan mengenai orang ketiga dalam hubungan mereka iaitu pekerja mereka sendiri, Amirah Aqilah Firdaus atau Mira.
Di dalam perkembangan terbaru, Mira mengaku menjalinkan hubungan cinta bersama View Chin namun dia mengatakan hubungan tersebut berlaku selepas lelaki itu bercerai dengan isterinya. Dalam masa yang sama, Mira turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Shermine dan anak-anak di atas tindakannya ini.
“Saya Amirah Aqilah Firdaus ingin memohon maaf kepada Shermine, Sylvia, Scarlett and Shyane setelah apa yang berlaku. Saya rasa menyesal dan mengakui segala kesilapan saya. Tetapi hubungan saya dan View Chin bermula setelah mereka telah sah bercerai.”
Tiada kaitan dengan punca perceraian
Dalam masa yang sama, Mira menafikan dia mempunyai hubungan dengan majikannya itu semasa lelaki tersebut masih lagi bergelar suami kepada Shermine. Malah dia juga menafikan mempunyai kaitan dengan hubungan perceraian pasangan suami isteri itu dan bersedia menerima kecaman yang diberikan dengan hati yang terbuka.
“Bukan semasa mereka masih bersama seperti yang telah tular sekarang.”
Terdahulu, Shermine membuat pendedahan di media sosial mengenai bukti kecurangan View Chin dan Mira yang menjalinkan hubungan sulit tanpa pengetahuannya. Perkongsian itu kemudiannya heboh di media sosial di mana netizen memberikan kecaman hebat terhadap View Chin dan Mira.
Walau bagaimanapun, View Chin mendedahkan dia dan isteri telah bercerai tahun lalu serta memaklumkan hasratnya yang mahu mengahwini Mira dalam masa terdekat. Lelaki itu juga turut mengaku pernah pergi bercuti bersama Mira di Bali seperti yang didakwa oleh Shermine.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.