Personaliti media sosial, Ryan Bakery mula terkenal di Malaysia selepas dia menghasilkan video-video ‘throwback’ kenangan zaman 90-an dahulu. Semenjak dari itu, namanya mula menjadi sebutan netizen yang terhibur melihat gelagatnya melakonkan video-video pendek itu.
Mula terkenal di platform Tik Tok, Ryan juga sering menerima produk untuk ‘di-review’ di akaun media sosialnya. Baru-baru ini, Ryan mendedahkan sebenarnya dia pernah ditipu sehingga ratusan ribu ringgit oleh pengusaha produk yang tidak membayar khidmat review nya.
Menurutnya, dia tidak menerima bayaran yang dijanjikan namun memilih untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pemilik produk tersebut. Katanya, dia malas untuk memanjangkan hal tersebut dan hanya menghalalkan sahaja apa yang terjadi.
“Saya dah banyak kali kena tipu pasal duit. Rasanya hampir ratusan ribu juga saya rugi apabila video sudah siap tapi pengasas produk cabut lari. Ada juga yang buat pembayaran lambat.”
Gara-gara kejadian yang berlaku ini, Ryan memberitahu dia kini menjadi seorang yang sangat berhati-hati dan susah untuk percaya dengan orang. Itulah juga yang menyebabkan dia tidak menjawab panggilan mana-mana nombor yang tidak dikenali sehingga ada yang melabelkannya seorang yang sombong.
“Saya tahu ada yang kata saya ini sombong. Disebabkan pernah kena tipu saya susah nak percaya orang dan berhati-hati nak jawab panggilan.”
Walau bagaimanapun, dia memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terasa dengan tindakannya itu. Ryan turut memaklumkan sekarang ini dia sudah mempunyai pihak pengurusan yang akan menguruskan hal kerjayanya untuk memudahkan semua urusan.
Difahamkan, Ryan kini telah melebarkan sayap ke bidang lakonan di mana dia akan muncul di dalam tiga buah filem kelak. Selain itu, dia turut dicalonkan di dalam Gempak Most Wanted Award di dalam kategori Digital Content Creator Tergempak bersama calon lain seperti Khairul Aming, Mek Yun, Syahmi Sazli dan Namie.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.