Baru-baru ini, Khairul Aming ada berkongsikan satu menu istimewa yang boleh dicuba di Starbucks di mana menu ini kini viral di media sosial. Di dalam video tersebut, Khairul Aming mencuba minuman coklat panas bersama croissant sebagai alternatif kepada menu popular yang dicubanya di Paris sebelum ini.
Video yang dimuat naik itu kemudiannya menerima lebih sejuta tontonan dan membuatkan rata-rata netizen teruja untuk mencubanya. Berdasarkan tinjauan di media sosial juga, menu yang digelar sebagai ‘Set Khairul Aming’ itu menerima sambutan hangat dari orang ramai.
Untuk mencuba menu tersebut, orang ramai boleh membeli minuman coklat panas, croissant dan krim putar yang ditempah secara berasingan. Namun baru-baru ini, muncul pula isu lain di mana ada yang mendakwa menu tersebut telah melanggar SOP di kafe popular itu.
Dakwa langgar SOP
Menerusi hantaran di Twitter, individu itu memberitahu tindakan menempah krim putar secara berasingan seperti yang dilakukan oleh ‘influencer’ itu sebenarnya telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) barista di kafe tersebut.
Tambahnya, dia juga telah bertanyakan kepada rakan baristanya mengenai hal ini dan ia sememangnya tidak dibenarkan. Malah ada juga individu lain yang menyokong kenyataannya itu dan mempersoalkan bagaimana barista tersebut boleh membenarkan ‘influencer’ itu menempah krim putar secara berasingan seperti itu.
“Kalau ikut SOP yang betul, yep, memang tak boleh bagi whipped cream on the side…”
Komen netizen
Walau bagaimanapun, ramai yang telah membeli menu tersebut memberitahu tidak mempunyai masalah dan menerima krim putar sama seperti yang ditunjukkan Khairul Aming. Malah ramai yang turut berkongsikan pengalaman mereka membeli menu tersebut di kafe popular itu.
Dalam masa yang sama, netizen memberitahu sebelum ini mereka juga pernah menempah krim putar secara berasingan dan tidak berdepan dengan apa-apa masalah. Malah ada juga yang mengatakan sedikit sebanyak menu Khairul Aming ini membantu memberikan keuntungan kepada kafe tersebut.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.