Kecoh sebelum ini apabila seorang personaliti media sosial Tik Tok yang dikenali sebagai Liana Beep Beep yang dikatakan telah melanggar kontrak perjanjian bersama syarikatnya.
Malah syarikat tersebut turut memuat naik video menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di antara mereka dan Tik Toker itu namun tiada sebarang penjelasan diberikan dari pihak Liana Beep Beep sendiri.
Akhirnya selepas sekian lama mendiamkan diri, Tik Toker itu kini tampil untuk memberikan penjelasan dari pihaknya. Menurut Liana, dia telah pun memberikan dua bulan notis berhenti walaupun ditawarkan gaji sebanyak RM20,000 sebulan.
Tidak dimaklumkan akaun akan dipadamkan
Dia turut memberitahu keputusan untuk berhenti itu juga adalah disebabkan alasan peribadi. Jelasnya, kehilangan akaun lama syarikatnya itu membuatkan dia cemas apabila dia menerima banyak kiriman mesej dari peminatnya bertanyakan tentang akaun tersebut.
“Saya rasa apa yang membuatkan situasi ini berlaku adalah disebabkan pihak mereka tidak memberitahu saya bahawa mereka akan memadam akaun tersebut dan menukarkan segalanya.”
Malah dia turut mempersoalkan tindakan syarikat mendedahkan isu tersebut kepada umum dan tidak berterus terang dengannya sendiri. Selain itu, Liana memberitahu tindakan syarikatnya itu telah membuatkan dia dan keluarga menerima kecaman yang begitu hebat dari netizen.
Menurutnya, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap komen-komen melampau yang diberikan oleh segelintir netizen dan telah menyerahkan bahan bukti kepada peguamnya. Dalam masa yang sama, dia memaklumkan akan menyelesaikan isu ini mengikut undang-undang.
Reaksi netizen
Meninjau di ruangan komen, pelbagai reaksi yang diberikan oleh netizen di mana ada juga yang berasa ragu-ragu dengan penjelasan terkini dari Liana ini. Malah ada yang mengatakan kenyataan yang diberikan ini tidak jelas dan bertentangan dengan apa yang dikatakan syarikatnya sebelum ini.
“Tapi bukan ke awak breach contract and ambik side job under this account walaupun masih bawah kontrak?”
“Tapi dorang cakap Liana tak respon dekat mesej staff sebab tu dorang proceed buat video penjelasan tu…”
“Ok lah tu dah dengar from both side. Semoga kebenaran ditunjukkan…”
Sebelum ini, Tik Toker Liana Beep Beep mendakwa akaun miliknya hilang di dalam sesi ‘live’ di platform tersebut. Namun seorang wakil syarikatnya kemudian tampil mendakwa Liana telah melanggar kontrak syarikat menyebabkan mereka terpaksa mengambil alih semula akaun tersebut.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.