Tular di media sosial baru-baru ini rakaman dashcam kemalangan yang melibatkan sebuah lori muatan berat. Difahamkan, kemalangan yang berlaku itu telah meragut nyawa seorang bayi yang berada di dalam kereta bersama keluarganya.
Terbaru, bapa kepada bayi tersebut meluahkan rasa terkilan dengan kemalangan yang menimpa keluarganya ini. Menurutnya, kejadian yang berlaku itu telah meragut nyawa anak pertamanya yang masih lagi bayi serta telah memberikan kecederaan kepada isterinya.
“Asalnya pada masa ini saya dan isteri mengalu-alukan kelahiran bayi kami ke dunia ini tetapi kejadian ini telah menyebabkan bayi kami pergi buat selamanya.”
Di dalam kejadian tersebut, kereta yang dipandu pasangan suami isteri ini telah bertembung dengan sebuah lori yang dipercayai membawa muatan berat secara berlebihan menyebabkan berlakunya pertembungan dahsyat di antara mereka.
Malah kereta mangsa juga kemudiannya terbalik dan menyebabkan kematian bayi sulung mereka. Tambah bapa kepada bayi itu lagi, kejadian ini boleh dielakkan namun kecuaian dari pemandu lori dan syarikatnya menyebabkan ianya berlaku.
Tiada permohonan maaf
Selepas kejadian yang berlaku ini, mereka langsung tidak ada menerima sebarang panggilan telefon dari syarikat logistik berkenaan berhubung kemalangan tersebut. Malah tiada wakil dari syarikat itu yang tampil membuat permohonan maaf selepas kejadian yang meragut nyawa bayi sulung mereka ini.
“Saya tidak akan memaafkan kamu semua. Setelah kejadian berlaku dan sehingga ke saat ini, tiada siapa pun daripada pihak syarikat kamu yang menelefon untuk meminta maaf mahupun bertanya khabar.”
Kecederaan serius pada isteri
Dalam masa yang sama, mangsa mendedahkan kemalangan itu bukan sahaja meninggalkan trauma kepada isterinya malah wanita itu juga mengalami beberapa kecederaan. Menurutnya, impak dari kemalangan ini menyebabkan rahim isterinya pecah, tulang belakangnya terbelah, tiga tulang rusuk patah, serta otak dan hatinya cedera (trauma).
Lelaki itu turut berharap pihak syarikat logistik tersebut dapat memberikan penjelasan mengapa mereka menggunakan lori untuk membawa muatan yang sudah pun melebihi paras ketinggian yang selamat.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.